DENGAN NAMA ALLAH YANG MAHA PEMURAH LAGI MAHA PENYAYANG
Pinterest Google+ Facebook Twitter Addthis

Monday 3 December 2012

PUNCA BATU KARANG



Gambar Sekadar Hiasan



ZAMAN berubah, tetapi ada nasihat orang tua dulu-dulu yang masih berguna. Antaranya ialah jangan suka menahan kencing kerana ia boleh menyebabkan batu karang. Walaupun tiada bukti saintifik yang boleh menyokongnya, ia tidak boleh dipandang ringan kerana nasihat ini banyak manfaatnya.

Secara logiknya, apabila seseorang cuba menahan kencing, dia akan kurang minum. Jika kurang minum, air kencing menjadi pekat dan mengandungi banyak bahan yang boleh membentuk batu karang.

Masalah ini lebih ketara bagi penduduk negara yang panas seperti Malaysia, bekerja dalam persekitaran panas atau bersenam keterlaluan dan kurang minum menggantikan semula air yang hilang.

Batu karang terbentuk dalam buah pinggang. Di buah pinggang inilah berlakunya proses penapisan darah bagi menyingkirkan bahan yang tidak diperlukan badan melalui air kencing dan najis.

Daripada buah pinggang, air kencing dipindahkan ke pundi kencing melalui saluran ureter. Di sinilah air kencing disimpan sehingga ia dibuang daripada badan. Batu karang terbentuk apabila air kencing mengandungi banyak bahan, terutama kalsium, oksalat, asid urik dan sistein atau kekurangan bahan yang bertugas membantu mencegah pembentukan kristal seperti sitrat dan magnesium.

kehadiran batu karang boleh menjadi petanda buah pinggang mula mengalami kerosakan.Pesakit perlu mendapatkan rawatan segera supaya kerosakan buah pinggang dapat diperlahankan dan disusuli dengan penjagaan pemakanan serta mula bersenam bagi mengelakkan pembentukan batu karang berulang.

Biasanya batu karang menyebabkan rasa yang sangat sakit pada bahagian tepi perut. Bagaimanapun, ia tidak berlaku pada semua orang. Ada juga pesakit batu karang yang tidak mengalami tanda dan masalah mereka dikesan secara tidak sengaja iaitu apabila menjalani pemeriksaan kesihatan bagi tujuan lain.

Banyak punca boleh menyebabkan pembentukan batu karang, tetapi faktor utamanya ialah tabiat pemakanan dan kurang minum air. Batu karang biasanya terbentuk apabila air kencing menjadi terlalu pekat.

Ini menyebabkan mineral dalam air kencing termendak dan mula membentuk kristal. Lama kelamaan, kristal ini bergabung dan membentuk seketul batu yang keras.

Batu karang yang kecil boleh masuk ke pundi kencing tanpa mengakibatkan kerosakan. Pergerakan batu karang ini menyebabkan kesakitan pada bahagian belakang atau sisi di bawah tulang rusuk. Kesakitan akibat batu karang lebih memuncak apabila batu ini pecah dan terhenti bergerak.

Banyak faktor boleh mempengaruhi perubahan air kencing kita seperti keturunan, pemakanan, ubat, cuaca, gaya hidup dan masalah kesihatan. Semuanya memberi sumbangan tertentu kepada pembentukan batu karang.




Faktor risiko

Banyak faktor boleh menyumbang kepada pembentukan batu karang, antaranya:

Kurang air — Jika tidak cukup minum, terutama air masak, air kencing menjadi lebih pekat. Ini sebabnya individu yang kurang minum air lebih mudah mengalami masalah batu karang.

Sejarah keluarga atau sendiri — Masalah batu karang juga boleh disebabkan oleh faktor keturunan. Orang yang ada sejarah keluarga mempunyai batu karang berisiko mengalami masalah sama. Malah, individu yang pernah mendapat batu karang juga perlu lebih berhati-hati kerana masalah ini boleh berulang.

Umur — kebanyakan kes berlaku di kalangan umur 20 hingga 70 tahun.

Jantina — Lelaki lebih mudah mengalami masalah batu karang berbanding wanita.

Penyakit tertentu — Penyakit yang diwarisi seperti sistinuria (masalah penyerapan dan metabolisme asid amino menyebabkan asid amino sisteina terkumpul dalam darah dan membentuk batu karang). Bahkan, individu yang ada penyakit kencing manis dan tekanan darah tinggi juga berisiko mengalami batu karang. Selain itu, individu yang mengalami masalah hiperurisemia (kepekatan asid urik yang tinggi dalam darah) juga dinasihatkan lebih peka menjaga kesihatan.

Kesan sampingan ubat — Sesetengah ubat, contohnya ubat diuretik, boleh meningkatkan risiko pembentukan batu karang dalam keadaan tertentu.

Pemakanan — Pemakanan yang tinggi kandungan protein purin dan asid urik seperti organ dalaman (hati, jantung, limpa), daging merah, makanan laut bercangkerang (kerang, tiram) dan alkohol boleh meninggikan risiko mendapat batu karang. Pada masa sama, diet kurang serat (buah-buahan, sayur-sayuran dan bijirin) menyumbang kepada masalah ini.

Kurang bergerak — Individu yang kurang bergerak, jarang bersenam atau lama terlantar lebih berisiko tinggi. Ini kerana aktiviti fizikal yang terhad menyebabkan tulang mengeluarkan lebih kalsium ke dalam darah.

Masalah batu karang boleh dielakkan dengan mengamalkan pemakanan sihat dan minum banyak air. Pesakit yang pernah mengalami masalah ini dinasihatkan supaya mengurangkan pengambilan makanan yang kaya asid urik atau purin.

Batu karang adalah masalah kesihatan yang boleh dicegah dengan melakukan sedikit perubahan gaya hidup. Selain itu setiap orang juga disaran menjalani tiga ujian mudah, iaitu ujian air kencing dan darah serta pemeriksaan tekanan darah bagi memastikan buah pinggang dalam keadaan normal.

Ini kerana melalui tiga ujian berkenaan, perubahan fungsi atau kerosakan buah pinggang dapat dikesan pada peringkat awal dan boleh dirawat segera.

sumber ni meera cedok dari: http://www.ipislam.edu.my

sharing is caring!

No comments: